Skip to main content

SYAIR BURUNG NURI

SYAIR BURUNG NURI
                                                       
Bermula warkah surat rencana,
Ikatan fakir yang sangat hina,
Sajak dan nazam banyak tak kena,
Daripada pendapat kurang sempurna.

Gerangan sungguh amatlah leta,
Perinya akal gelap-gelita,
Hemat pun rendah daif berserta,
Tambahan badan miskin dan nasta.

Beribu ampun kiranya tuan,
Atasnya hulu fakir nistawan,
Daripada masyghul gundah merawan.
Terperilah madah patik nin tuan.

Dituliskan sahifah supaya nyata, 
Barang yang ghairah di dalam cinta,
Terfikir-fikir bukan menderita,
Dakwat dan kertas tempat berkata.

Sudahlah nasib untung yang malang,
Mengambah tautan berulang-ulang,
Mudaratnya bukan lagi kepalang,
Senantiasa di dalam nasib dan walang.

Hanyutlah badan ke sana ke mari,
Segenap pesisir desa negeri,
Bertambahlah pula sopan dan negeri,
Santap nan tidak minum pun kari.

Bangun terjunun badan suatu,
Gundahlah fikir tiada tertentu,
Laksana cermin jatuh ke batu,
Remuk dan redam hancur di situ.

Remuk dan redam rasanya hati,
Lenyaplah fikir budi pekerti,
Jikalau kiranya hamba turuti,
Daripada hidup sebaiknya mati. 

Mohd Yusof Md Nor dan Dr. Abd. Rahman Kaeh.
Pusisi Melayu Tradisi, 1996
Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

Tema : Adab dalam kehidupan seseorang yang sering ditempuhi.

Ciri-ciri Syair:

1.Terdiri daripada 8 rangkap dan semua baris sama iaitu 4 baris dalam satu rangkap.

2. Rima akhir : a,a,a,a

3.Bilangan suku kata dalam setiap antara 10 hingga 13 suku kata.

4.Bilangan perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 6 suku perkattan.

Gaya Bahasa:
  • Inversi        - pembalikan susunan kata
  • Anafora       - pengulangan kata di depan baris 
  • Epifora        - pengulangan kata-kata di akhir baris puisi
  • Simile          - kiasan yang membandingkan dua benda yang berbeza tetapi ada persamaan.                              Seperti penggunaan bak, umpama,seperti, bagai dan laksana.
  • Sinkope       - penggunaan singkatan dalam ayat seperti : ku (aku), mu (kamu)
  • Kata Ganda - Kata ganda yang mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi ( rima) di                                  pangkal, di hujung, atau seluruhnya apabila digandakan.
  • Diksi            -pemilihan kata yang tepat untuk menyatakan sesuatu.

Contoh penggunaan gaya bahasa :

Inversi (Ayat songsang) - Dituliskan sahifah supaya nyata,
                                          Sepatutnya: sahifah dituliskan supaya nyata.

Anafora (perulangan        -Remuk dan redam hancur di situ.
perkataan di awal baris)    Remuk dan redam rasanya hati,

Epitora (perulangan          - negeri
perkataan di akhir baris)

Simile                               - Laksana  cermin jatuh ke batu,

Sinkope                             -Sajak dan nazam banyak tak kena,

Kata Ganda                        -Perinya akal gelap-gelita,

Diksi penggunaan  
bahasa Arab                       -Masygul ( perasaan sedih,atau dukacita kerana sesuatu)

Nilai dan Pengajaran:
  • Kebijaksaan   - Kita hendaklah bijak menyusun strategi dalam memikat hati insan yang kita cintai.
  • Merendah diri - Kita hendaklah mengamalkan sikap merendah diri supaya orang lain tidak  membenci diri kita.
  • Rasional          - Kita hendaklah berfikir secara rasional dalam membuat sesuatu tindakan supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
  • Ketabahan      -  Kita haruslah tabah dalam menghadapi dugaan dalam kehidupan.
  • Kegigihan       - Kita haruslah gigih dan tidak mudah berputus asa dapat mencapai sesuatu yang kita inginkan.
Persoalan:
  • Persoalan kebijaksanaan menyusun strategi demi memiliki orang yang kita cintai.
  • Persoalan sikap merendah diri dalam kehidupan.
  • Persoalan keburukan dalam terlampau menurut rasa hati.
  • Persoalan ketabahan dalam mengharungi dugaan hidup. 
  • Persoalan keperitan hidup orang yang serba kekurangan.


Comments